Harapan untuk terus memperbaiki, memperindahkan mutu bacaan Al-Quran




Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Ihsan Awangku Adi Nazri Pengiran Haji Jofri, Dayangku Siti Ummi Syazana Pengiran Haji Marjuki





BERAKAS, Jumaat, 1 Mei. - Johan qari dan qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi masing-masing menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala setelah dinobatkan menjadi johan bagi pertandingan tersebut.


“Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur dan gembira atas rezeki yang dikurniakan pada tahun ini. Kemenangan ini memberi semangat untuk terus memperbaiki dan memperindahkan lagi mutu bacaan saya pada masa akan datang," ujar johan qari, Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri semasa ditemu bual bersama Pelita Brunei.


Menurutnya, setiap kali menyertai pertandingan, beliau akan membuat persiapan beberapa bulan lebih awal dengan latihan secara konsisten dua kali seminggu.


Tambahnya lagi, tujuannya adalah untuk memastikan bacaan sentiasa tepat dari segi tajwid, lancar dan konsisten dari awal hingga akhir persembahan.


Di samping itu, katanya, beliau turut memberi fokus kepada pemahaman dan penguasaan lagu-lagu taranum kerana setiap peserta biasanya diberikan lagu wajib. Oleh itu, latihan tersebut adalah penting bagi memastikan perpindahan dari satu lagu ke lagu yang lain dapat dilakukan dengan lebih teratur, harmoni dan tidak terganggu semasa bacaan.


Menyentuh mengenai cabaran yang dihadapi, beliau menjelaskan bahawa antara cabaran yang saya hadapi semasa membuat persiapan sebelum hari pertandingan ialah dari segi kesihatan, sama ada suara, fizikal, mahupun mental.


“Selain itu, saya juga perlu memastikan bacaan sentiasa konsisten dari segi tajwid, taranum, dan kelancaran sepanjang tempoh persiapan hingga hari pertandingan. Untuk mengatasinya, saya berlatih dua kali seminggu, mengulang semula bacaan, serta mendapatkan bimbingan daripada guru bagi memperbaiki setiap aspek bacaan," ujarnya lagi.


Harapan beliau dalam Musabaqah Membaca Al-Quran pada masa akan datang adalah untuk terus memperbaiki dan memperindahkan mutu bacaan dari segala aspek penghakiman, agar dapat mencapai kejayaan bukan sahaja di peringkat kebangsaan, bahkan di peringkat antarabangsa.


Dalam kesempatan ini, beliau ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.  


Beliau menaruh harapan akan terus mencapai kejayaan dalam musabaqah membaca Al-Quran sama ada di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.


Sementara itu, johan qariah musabaqah, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki pula menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wata'ala atas rezeki kemenangan johan musabaqah pada tahun ini.


“Ia satu penghargaan kepada doa, usaha dan latihan yang berterusan dan merupakan doa dan sokongan daripada keluarga, guru serta rakan. Semoga kejayaan ini menjadi dorongan dan semangat untuk terus memperbaiki kualiti pembacaan Al-Quran pada masa akan datang," ujarnya lagi.

“Persiapan saya sebenarnya bermula pada tahun lepas iaitu selepas berakhirnya Musabaqah Tilawah Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 2025," jelas beliau ketika menyentuh mengenai persiapan yang telah dibuat sebelum musabaqah berlangsung.


“Bermakna persiapan itu lebih awal kerana ia memerlukan latihan bacaan, suara, mental dan fizikal yang berterusan. Berguru kepada guru-guru yang berpengalaman dan berkemahiran.


“Latihan atau Tasmie' bersama guru-guru dilakukan dua atau tiga kali dalam seminggu dan dalam masa yang sama membuat latihan secara bersendirian setiap hari kerana konsisten itu amat penting dalam memastikan bacaan kita terus terjaga," ujar beliau menjelaskan lagi.


Dalam masa yang sama tambahnya, beliau juga menitikberatkan dalam penguasaan lagu-lagu taranum kerana lagu wajib akan diberikan kepada setiap peserta qari dan qariah.


Di samping itu, katanya, beliau juga memastikan untuk sentiasa bersenam untuk kesihatan mental dan fizikal saya dalam memastikan keadaan saya sentiasa berada pada tahap optimum tidak kira semasa bertanding atau latihan.


Selain itu, persiapan untuk menghadapi musabaqah tersebut bermula pada tahun lepas dan dari situ, katanya lagi, latihan daripada bacaan, fizikal dan mental telah dilakukan secara konsisten tanpa henti.


Menyentuh mengenai harapan beliau dalam Musabaqah membaca Al-Quran ialah untuk terus memperbaiki mutu bacaan, tajwid dan kefahaman agar pembacaan lebih sempurna, kekal konsisten dalam latihan sambil menjaga kesihatan mental dan fizikal.


Seterusnya, sentiasa berdoa agar niat ikhlas kerana Allah Subhanahu Wata'ala terpelihara dalam setiap pertandingan serta menggalakkan penyertaan generasi muda tempatan dalam musabaqah.


Dalam kesempatan ini, beliau merafak sembah junjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan atas sokongan dan bimbingan berterusan dalam memartabatkan Al-Quran.


Close